Tuesday, December 27, 2011

BERITA
Rabu Disember 28, 2011
Tiada Lagi Yuran Sekolah, Bantuan Tambahan Diterima

KUALA LUMPUR: Kira-kira 457,000 murid Tahun Satu akan memasuki alam persekolahan tahun depan tanpa perlu membayar yuran buat pertama kalinya dalam sejarah pendidikan negara.

Mereka adalah sebahagian daripada 5.3 juta pelajar sekolah rendah dan menengah di sekolah-sekolah kerajaan seluruh negara yang mendapat faedah daripada dasar pendidikan percuma yang diumumkan baru-baru ini dan juga menikmati bantuan tambahan RM100 sebagai persediaan untuk sesi baru persekolahan akan datang.

Pelajar Tingkatan Enam, bagaimanapun, akan menerima baucar buku bernilai RM200 sebagai gantian kepada bantuan persekolahan itu.

Pengumuman mengenai pendidikan percuma dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2012 di Dewan Rakyat pada Oktober lepas dan disambut baik rakyat.

Semasa mencadangkan perkara itu, Najib berkata ia bertujuan memastikan semua kanak-kanak Malaysia tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mempunyai akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu.

Sebelum ini, pelajar sekolah rendah dan menengah, masing-masing dikehendaki membayar RM24.50 dan RM33.50 untuk ko-kurikulum, kertas ujian dalaman, yuran Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia dan premium perlindungan insurans.

Penghapusan bayaran tersebut melibatkan peruntukan tambahan RM150 juta.

Di bawah Belanjawan 2012, RM50.2 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan di samping RM1.9 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam mengarusperdanakan bidang pelajaran dan usaha menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan akademik.

Banyak pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional menganggap pemansuhan yuran pelbagai bagi pelajar sekolah rendah dan menengah mulai sesi persekolahan akan datang ini sebagai hadiah sangat bermakna untuk rakyat.

Bantuan RM100 kepada pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima itu bertujuan membantu meringankan bebanan ibu bapa yang mempunyai anak yang sedang bersekolah, lebih-lebih lagi yang mempunyai ramai anak.

Bantuan itu yang disambut baik dan dinanti-nantikan oleh orang ramai, telah dipersoalkan oleh pembangkang di Dewan Rakyat, dengan mengatakan pengagihan wang itu yang dilaksanakan sejak November lepas, sebagai " tidak mengikut prosedur kerana peruntukannya hanya diluluskan bagi tahun 2012."

Kementerian Pelajaran bagaimanapun menjelaskan bantuan itu diambil terus daripada Dana Akaun Pembayaran Perbendaharaan Yang Disatukan untuk tahun ini, yang sudah diluluskan oleh Perbendaharaan, jadi kementerian tidak perlu menggunakan peruntukan daripada belanjawan tahun depan bagi tujuan itu.

Ada juga sesetengah sekolah yang tidak menyerahkan kesemua wang RM100 itu kepada pelajar yang telah menyebabkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berulang kali mengingatkan sekolah-sekolah berkenaan supaya mengembalikan baki wang bantuan itu.

Selain memberi pendidikan percuma dan bantuan kewangan itu, keputusan Kabinet mengenai program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) turut menjadi topik hangat perbincangan pada tahun ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan baru-baru ini bahawa program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia akan dilaksanakan sepenuhnya di sekolah rendah pada tahun 2016 dan di sekolah menengah pada 2021.

Keputusan itu membuktikan kerajaan sedia menyahut dan menimbangkan supaya pelaksanakan dasar-dasar baru itu tidak menyusahkan sehingga boleh menjejaskan prestasi pelajar di sekolah. Pelajar yang sudahpun mengikuti pelajaran di bawah sistem PPSMI boleh meneruskannya sehingga tamat, dan pada waktu yang sama murid-murid yang baru memasuki sekolah dikehendaki mengikut sistem baru dikenali program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

PPSMI diperkenalkan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2003 bagi tujuan meningkatkan penguasaan mata pelajaran Sains dan Matematik. Namun implikasi PPSMI ke atas identiti kebudayaan dan keperibadian negara telah dibahaskan sejak ia mula dilaksanakan.

Dalam Belanjawan 2012 yang diluluskan baru-baru ini, sektor pendidikan juga menerima beberapa peruntukan lain termasuk dana khas RM1 bilion bagi pembinaan, pembaikan dan penyelenggaraan sekolah-sekolah serta baucar buku untuk pelajar di institusi pengajian tinggi.

Tanpa melupakan golongan guru, Perdana Menteri juga mengumumkan lima kaedah kenaikan pangkat untuk mereka yang akan berkuat kuasa 1 Jan, 2012.

Lima kaedah itu yang hanya terpakai bagi profesioan perguruan terdiri daripada kenaikan mengisi kekosongan, kenaikan khas untuk penyandang, kenaikan berdasarkan tempoh, kenaikan untuk pengetua atau guru besar cemerlang dan kenaikan pangkat guru cemerlang.

Kaedah baru kenaikan pangkat itu diharapkan dapat menaikkan semangat kira-kira 480,000 orang guru di seluruh negara, untuk memberi perkhidmatan pendidikan yang lebih baik kepada negara.

Muhyiddin berkata insentif tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan menambah baik perkhidmatan awam pada keseluruhannya. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2011/12/28/mstar_berita/20111228102640&sec=mstar_berita

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

No comments: