Wednesday, November 09, 2011

Ibu bapa boleh semak sekolah ajar dalam bahasa Inggeris Disember

KUALA LUMPUR: Mulai bulan depan, ibu bapa pelajar Tahun Enam yang mengikuti program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) boleh menyemak sekolah yang menawarkan program sama di Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ia bagi memastikan proses peralihan berjalan lancar.
Beliau berkata, proses semakan itu hanya membabitkan pelajar yang mengikuti program PPSMI sepenuhnya iaitu kira-kira lima peratus daripada jumlah kelas di 7,495 sekolah rendah.
Ibu bapa pelajar boleh memindahkan anak mereka ke sekolah lain jika sekolah yang ditawarkan tidak melaksanakan program atau dasar berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelajar yang tidak mengikuti PPSMI atau menggunakan dwibahasa dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) Matematik dan Sains, tidak perlu membuat semakan kerana dijangka tiada masalah berbangkit.

“Saya sudah arah kementerian dan Ketua Pengarah supaya semakan dibuat bermula Disember ini. Kita mengambil tempoh lebih awal sikit. Biasanya mereka masuk Januari, kita minta mereka menyemak di sekolah mana dan guru akan beritahu untuk memastikan tidak ada kejanggalan.

“Kita akan maklumkan semua sekolah. Pegawai Pendidikan Daerah akan memanggil pengetua dan guru besar untuk memaklumkan cara mengelakkan masalah tadi (kejanggalan)... kalau ibu bapa tidak membawa anak pun tak apa, cuma untuk menyemak kesesuaian sekolah menengah yang mengamalkan dasar yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam rancangan Soal Jawab yang dihoskan Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Datuk Ahmad A Talib melalui TV3, malam tadi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi murid Tahun Satu yang memulakan sesi persekolahan awal tahun ini, dasar PPSMI sudah dimansuhkan dan digantikan dengan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI).

Katanya, proses berperingkat atau dikenali sebagai ‘soft landing’ itu akan berterusan sehingga murid Tahun Satu tahun ini menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sepenuhnya dalam bahasa Melayu pada 2016, manakala Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2021.

Menjawab soalan sama ada MBMMBI mampu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar, Muhyiddin berkata, kementerian melaksanakan pelbagai langkah penambahbaikan termasuk aspek perguruan dan pengisian kandungan kurikulum mata pelajaran berkenaan.

Katanya, seramai 47,887 guru Bahasa Inggeris sentiasa diberikan kursus bagi memastikan kualiti pengajaran ditingkatkan, di samping latihan kepada 6,000 guru di institut perguruan seluruh negara dan pengambilan secara kontrak guru bersara yang kini 200 orang.

Di samping itu, katanya, kementerian turut membawa masuk 360 ‘master teacher’ pakar Bahasa Inggeris daripada 10 negara termasuk United Kingdom, Kanada, Denmark dan Australia untuk memerhati dan memberikan pandangan untuk menambah baik kualiti P&P guru Bahasa Inggeris serta pengambilan 50 tenaga pengajar dari Amerika Syarikat bermula awal tahun depan.

“Cabaran kita, bagaimana nak tentukan ada peningkatan lebih ketara dalam penguasaan bahasa Inggeris... satu yang tak ada ialah ukurannya... saya fikirkan adakah wajar kita wujudkan satu lembaga untuk memberi penanda aras untuk mata pelajaran ini.

“Mungkin kita boleh bekerjasama dengan Universiti Cambridge cara mengukur pencapaiannya... bila kata di sekolah penguasaan bahasa Inggeris baik, adakah baik yang setanding dengan antarabangsa.

“Saya percaya cabaran besar tetapi harapan untuk melihat MBMMBI berjaya tidak mungkin berlaku jika tidak ada kesungguhan ibu bapa dan komitmen pelajar,” katanya.


http://www.bharian.com.my/bharian/articles/IsuPPSMI_Pilihsekolah/Article/

No comments: